Saturday, August 21, 2010

Dosa-Dosa & Facebook

oleh Ustaz Zaharuddin ( www.zaharuddin.net )

Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat (sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.


Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.


Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.


Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.


Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.


Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.


Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.


Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.


5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.


Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.


Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-


a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.


b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.


c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar.. anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.


6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan


Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.


Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.


KESIMPULAN


Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.


Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.


Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.


Sekian.

KEGEMILANGAN PADA BULAN RAMADHAN

Puasa adalah ibadat yang difardukan oleh Allah ke atas Nabi Muhammad saw dan umat Baginda. Kefarduan ini dinyatakan secara jelas oleh Allah melalui firman-Nya bermaksud: Wahai orang yang beriman, difardukan ke atas kamu berpuasa, seperti mana yang telah difardukan ke atas umat terdahulu daripada kamu, semoga kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah, ayat 183).

 
Mereka yang berpuasa akan menikmati pelbagai hikmah.

Dari segi biologi, puasa membina kesihatan. Ini kerana dengan mengatur amalan pemakanan dan tidak terlalu banyak makan, makanan dapat dicernakan dengan lebih baik dan perut mempunyai ruang untuk ‘berehat’.

Perut adalah sumber perkembangan penyakit. Perut juga dikenal pasti sumber yang boleh mengganggu kesihatan akal dan hati. Lukman ul-Hakim berkata kepada anaknya: “Wahai anakku, apabila perutmu terlalu kenyang, maka otakmu tidur, fikiranmu rosak dan badanmu malas beribadat.”

Dari segi mental dan jiwa, melalui puasa, jiwa dan hati akan ‘dibersihkan’ daripada penyakit hati seperti hasad dengki, iri hati dan rasa sombong, takbur dan riak. Hati yang sentiasa mengingati Allah dan mencari kesempatan untuk berbuat kebaikan, akan melahirkan sifat terpuji yang secara automatik menyebabkan mulut ingin sentiasa berzikir. Hati yang lembut juga akan memupuk fikiran bersih yang diselaputi sifat kemanusiaan yang dijalin atas kasih sayang.

Dari segi moral dan akhlak pula, puasa adalah satu sistem latihan bagi membentuk akhlak mulia.

Sebenarnya, Ramadan bukan saja mempunyai banyak fadilat, kelebihan dan hikmat, malah sejarah bulan itu sendiri mengagumkan. Pada Ramadan, diturunkan al-Quran, iaitu wahyu Allah yang menjadi petunjuk hidup manusia.

Pada tarikh 17 Ramadan tahun kedua Hijrah, bersamaan Jumaat, berlaku Perang Badr al-Kubra, satu peperangan besar yang pertama kali membabitkan kaum Muslimin melawan kaum musyrik.

Pertempuran itu berlaku di sebuah lembah dekat kota Madinah, iaitu di Badr. Kaum Muslimin ketika itu hanya mempunyai kekuatan 300 orang dengan setiap dua orang menaiki seekor unta, berbanding dengan kekuatan golongan kafir kira-kira 1,000 orang dengan perincian 700 orang menaiki unta dan lebih 100 lagi anggota pasukan berkuda.

Ini bererti seorang Muslim berdepan dengan tiga orang musuh. Atas kekuasaan dan pertolongan Allah, peperangan itu dimenangi oleh golongan Muslimin.

Pada tarikh 18 Ramadan tahun kelapan hijrah pula, Rasulullah bersama 12,000 kaum Muslimin bertolak dari Madinah menuju Makkah untuk membebaskan Makkah. Peristiwa pembebasan kota Makkah ini begitu terkenal dengan sebutan ‘Futuh Makkah’.

Pembebasan kota Makkah oleh golongan Muslimin menandakan satu era baru dalam Islam, selepas kaum Muslimin diseksa dan ditindas, bahkan yang terakhir dikepung oleh pasukan tentera Ahzab (sekutu) selama berminggu-minggu di Madinah.

Malahan, Rasulullah menyifatkan pembebasan Makkah itu begitu penting, melalui sabda Baginda, yang bermaksud: “Kaum Quraisy tidak akan berani lagi mendatangi (menyerang) kamu selepas tahun ini, lenyap musnah kekuatan mereka, dan mereka tidak akan memerangi kita selepas hari ini dan sekarang giliran kita akan memerangi mereka, insya-Allah.”

Pada Ramadan juga, dalam tahun ke-91 Hijrah, kaum Muslimin di bawah pimpinan Thariq bin Ziad, berjaya membuka Andalusia (Sepanyol). Peristiwa yang dikenali sebagai “Futuh Andalusia” ini begitu menyemarakkan semangat perluasan empayar Islam apabila Thariq dan tentera Muslimin, berjaya menyeberangi selat di antara Afrika dan Eropah atas perintah Musa bin Nushair penguasa Islam ketika itu.

Setelah tentera Islam menyeberangi selat berkenaan, Thariq memerintahkan agar semua kapal perang Islam dibakar, sambil berpidato dengan penuh semangat bagi merangsang jiwa angkatan Islam : “Musuh di depan kamu. Apabila kamu mundur, lautan di belakang kamu. Pilihlah yang mana lebih tinggi kehormatannya, berjuang di jalan Allah atau mati ditelan lautan.”

Ucapan Thariq membakar semangat tentera Muslimin untuk berjuang bermati-matian kerana yang ada di depan hanyalah berjuang sekuat tenaga dan mengharap pertolongan Allah. Semangat ini berjaya membolehkan satu demi satu kota musuh jatuh ke tangan kaum Muslimin dan akhirnya, Andalusia berjaya ditakluki tentera Muslimin pada Ramadan.

Sejak itu, Andalusia menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan dan mercu peradaban manusia yang tersohor pada zamannya, sehinggakan kemajuan teknologi yang dimiliki Eropah sekarang adalah warisan teknologi umat Islam masa silam.

Selain itu, daerah Ghaal di Peranchis atau kini Pays des Gualles, juga ditakluki Islam ketika Ramadan.

Justeru, dalam kita meraikan ketibaan Ramadan, marilah kita sama-sama menghayati sejarah kegemilangan tamadun Islam, kekuatan tentera Islam berperang dalam keadaan berpuasa, tanpa sedikit pun melunturkan iman mereka.

Ramadan seharusnya menjadi titik tolak untuk kita bertambah kuat dan bersatu mempertahankan agama Islam kerana daripada sejarah, banyak kegemilangan Islam dicatatkan dalam bulan ini.

Pada Ramadan ini, selain menambah amal ibadat, umat Islam juga perlu berusaha dan bertekad untuk mengembalikan kegemilangan umat Islam suatu ketika dulu. Mudah-mudahan pada Ramadan ini, umat Islam diberikan kekuatan dan keredaan Allah untuk menghadapi segala cabaran bagi mempertahan dan menjulang nama Islam di persada dunia.

Tuesday, August 17, 2010

Tingkat manakah puasa kita?

“Berapa banyak orang yang berpuasa, namun tidak didapatkan dari puasanya itu kecuali lapar dan dahaga.” (Hadits Riwayat Turmudzi)
Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin membahagi puasa dalam 3 tingkatan iaitu;

Puasa Umum
Yang amat dijaga cuma tidak makan dan minum. Hal-hal lain serupa sahaja sebagaimana hari-hari biasa.
**Sia-sia puasanya.

Puasa Khusus
Bukan sahaja tidak makan dan minum, anggota zahir juga dijaga supaya tidak melakukan maksiat. Hatinya juga dapat dipelihara dari sifat-sifat mazmumah.
**Bermanfaatlah puasa baginya.

Puasa Khususul Khusus
Berpuasa seluruh anggotanya, zahir dan batin dari apa jua berhubungan dengan dunia. Hatinya tidak putus dari mengingati Allah dalam setiap detik.
**Puasa terbaik dan paling bernilai untuknya.

Bagaimana dengan puasa Anda???


Friday, August 13, 2010

4 SIFAT WANITA SYURGA DAN 4 SIFAT WANITA NERAKA

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda : empat jenis wanita yang berada di surga dan empat jenis wanita yang berada di neraka dan beliau menyebutnya di antara empat jenis perempuan yang berada di surga adalah :
1. Perempuan yang menjaga diri dari berbuat haram lagi berbakti kepada Allah dan suaminya.
2. Perempuan yang banyak keturunannya lagi penyabar serta menerima dengan senang hati dengan keadaan yang serba kekurangan (dalam kehidupan) bersama suaminya.
3. Perempuan yang bersifat pemalu, dan jika suaminya pergi maka ia menjaga dirinya dan harta suaminya, dan jika suaminya datang ia mengekang mulutnya dari perkataan yang tidak layak kepadanya.
4. Perempuan yang ditinggal mati oleh suaminya dan ia mempunyai anak-anak yang masih kecil, lalu ia mengekang dirinya hanya untuk mengurus anak-anaknya dan mendidik mereka serta memperlakukannya dengan baik kepada mereka dan tidak bersedia kawin karena khuwatir anak-anaknya akan tersia-sia (terlantar).
Kemudian Rasulullah S.A.W. bersabda : Dan adapun empat jenis wanita yang berada di neraka adalah :
1. Perempuan yang jahat mulutnya terhadap suaminya, jika suaminya pergi, maka ia tidak menjaga dirinya dan jika suaminnya datang ia memakinya (memarahinya).
2. Perempuan yang memaksa suaminya untuk memberi apa yang ia tidak mampu.
3. Perempuan yang tidak menutupi dirinya dari kaum lelaki dan keluar dari rumahnya dengan menampakkan perhiasannya dan memperlihatkan kecantikannya (untuk menarik perhatian kaum lelaki).
4. Perempuan yang tidak mempunyai tujuan hidup kecuali makan, minum dan tidur dan ia tidak mahu berbakti kepada Allah, Rasul dan suaminya.

Friday, August 6, 2010

PERINGATAN UNTUK SEMUA



TANDA-TANDA KEMATIAN





Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan ujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara lansung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda. Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk engkafankan bahagian mukanya.

Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walaubagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus di rentap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT. Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka-mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikatmaut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikatmaut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah
belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.
Tanda akhir
Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikatmaut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

PENUTUP

Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semuga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda-tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita. Walaubagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.

Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.

Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.

10 Sebab Doa Terhijab

10 Sebab Doa Terhijab


“Wahai Ibrahim Adham, kami telah
berdoa kepada Allah, tetapi tidak
diperkenankanNya lagi. Beritahulah
kami apakah sebabnya?” Ibrahim Adham
menjawab, terhijabnya doa disebabkan
10 perkara..”


1) Kamu mengenali Allah tetapi
tidak menunaikan hakNya (perintahNya).


2) Kamu membaca al-Quran tetapi
tidak beramal dengannya.


3) Kamu mendakwa iblis itu musuh
kamu tetapi kamu menurut hasutannya.


4) Kamu mendakwa mencintai
Rasulullah tetapi kamu meninggalkan
amalan dan sunnahnya.


5) Kamu mendakwa mencintai syurga
tetapi kamu tidak beramal untuk
mendapatkannya.


6) Kamu mendakwa membenci neraka
tetapi kamu tidak meninggalkan
perbuatan dosa.


7) Kamu mendakwa mati itu benar
tetapi kamu tidak bersedia untuk
menghadapinya.


8) Kamu sibuk menceritakan
keaiban orang lain tetapi kamu lupa
keaiban diri sendiri.


9) Kamu makan rezeki Allah tapi
kamu tidak mensyukurinya.


10) Kamu mengebumikan jenazah
saudaramu tetapi kamu lupa mengambil
ikhtibar daripadanya.


nauzubillah... mohonlah doa dengan sebaiknya... moga dia menjawab segala permintaan kita insyaAllah

PROGRAM IHYA' RAMADHAN 2010

Pelancaran Ihya' Ramadhan
Program Ramadhan Dekat Di Hati akan dilancarkan secara rasminya oleh Penolong Kanan Pentadbiran. Ia bertujuan bagi menerangkan matlamat dan objektif program ini dijalankan. Pelbagai aktiviti yang akan dilaksanakan juga boleh dimaklumkan kepada seluruh warga sekolah.

Risalah Ramadhan
Ia merupakan edaran bercetak pelbagai maklumat tentang ibadah puasa dan aktiviti sepanjang Ramadhan Dekat Di Hati . Risalah akan diedarkan setiap sepanjang Ramadhan dengan pengisian mengikut fasa iaitu di awal Ramadhan dan di akhir Ramadhan yang lebih memfokuskan kepada persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Saham Waqaf at-Taqwa
Program ini memberi peluang kepada guru , staf dan pelajar membuat sedekah jariah dengan memberi sumbangan al-Quran untuk keperluan jemaah Surau at-Taqwa. Peserta akan diberikan borang penyertaan dan membayar sebanyak RM 15 untuk sebuah al-Quran. AJK akan membeli sejumlah al-Quran dan meletakkannya di surau.

Tadarus Al-Quran
Melalui program ini pelajar dan guru akan dibahagikan kepada kumpulan kecil . Pelajar dan guru akan bertadarus membaca al-Quran . Waktu yang ditetapkan untuk pelajar ialah ketika amali solat di surau pada setiap petang ( 3.45 – 4.15 ).

Majlis Khatam Al-Quran
Majlis Khatam Al-Quran diadakan pada akhir Ramadhan setelah pelajar selesai khatam al-Quran melalui program tadarus harian. Majlis dijalankan di surau pada pukul 5.30 - 6.30 petang dan diikuti majlis berbuka puasa serta diakhiri dengan solat sunat terawih.

Kuiz Ramadhan
Bagi menggalakkan pelajar membaca pelbagai maklumat tentang Ramadhan, aktiviti kuiz akan diadakan dengan mengemukakan pelbagai soalan berkaitan Ramadhan. Pelajar dikehendaki mencari jawapan kuiz melalui pelbagai sumber seperti risalah edaran, info di perpustakaan Islam dan internet.

Ramadhan Ke Udara
Ia merupakan satu program di mana alunan bacaan Al-Quran dan zikir munajat akan disiarkan melalui alat pembesar suara. Antara pengisiannya ialah petikan ayat al-Quran juz Amma dan koleksi zikir munajat.

Ramadhan Maya
Seiring dengan perkembangan ICT, maklumat tentang Ramadhan boleh disalurkan melalui internet. Sebuah laman blog akan dihasilkan untuk menjadi sumber rujukan pelajar berkaitan ibadah puasa dan sebagainya.

Solat Terawih
Solat terawih akan dilakukan selepas solat Isyak pada setiap malam sepanjang bulan ramadhan. Ianya dapat mendidik pelajar agar melipat gandakan amalan sunat pada bulan ramadhan.

Kem Solat & Qiamullai
Iaitu sebuah program dimana pelajar tingkatan 1 dan 2 akan di dedahkan cara berwuduk dengan betul, menyucikan najis dan hadas. Selain itu pelajar akan dibimbing supaya melaksanakan ibadat solat dengan sempurna. Pelajar juga didedahkan dengan amalan qiamullai sebagai satu pendedahan kepada mereka.

Iftor ramadhan
Ianya merupakan kemuncak kepada progrem ihya’ ramadhan, dimana semua guru dan pelajar akan berbuka puasa bersama-sama.

MANUSIA YANG DIKUTUK OLEH ALLAH DAN RASUL

BERSABDA RASULULLAH S.A.W MAKSUDNYA;

" 6 JENIS GOLONGAN MANUSIA YG AKU DAN ALLAH JUGA TURUT MENGUTUK SERTA PADA HARI KIAMAT KELAK ALLAH TIDAK AKAN MEMANDANG MEREKA DENGAN PANDANGAN RAHMAT DAN BELAS KASIHAN.MEREKA ITU IALAH;

1. ORG YG MENAMBAH MAKSUD TAFSIRAN AL-QURAN (TAKWIL YG MENYIMPANG)
2. ORG YG MENDUSTAKAN KEPADA TAKDIR ALLAH
3. ORANG YG BERKUASA TETAPI TAKKABUR.MEREKA MEMULIAKAN ORG YG DIHINAKAN ALLAH DAN SEBALIKNYA MENGHINA ORG YG DIMULIAKAN ALLAH DAN RASUL
4. ORG YG MENGHALALKAN PERKARA YG DIHARAMKAN ALLAH DAN SEBALIKNYA.
5. ORG YG MENINGGALKAN SUNNAH NABI
6. ORG YG MENGHALALKAN APA YG DIHARAMKAN ALLAH DI KOTA SUCI MEKKAH.