Friday, October 29, 2010

15 ANUGERAH ALLAH BERI KPD WANITA

1. Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis tersebut. lalu Baginda bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat?” Jawab mereka,”Tidak” Sabda Baginda “Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah dan tidak ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat kaum orang lelaki.


2. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘Bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

3. Wanita yang menguli tepung gandum dengan ‘Bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.

4. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah ( Kaabah).

5. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit dan bumi.”

6. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”

7. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di hari akhirat.”

8. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatit baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”

9. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di mata orang-orang yang memerhatikannya.”

10. Sabda Nabi s.a.w. : ” Ya Fatimah setiap wanita meminyakkan rambut dan janggut suaminya, memotong misai dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum kepadanya dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka dan selamatlah ia melintas Titian Shiratul Mustaqim.”

11. Jika suami mengajarkan atau menerangkan kepada isterinya satu masalah agama atau dunia dia akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

12. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga dan menunggu kedatangan suaminya dengan menunggang kuda yang diperbuat daripada permata yakut.

13. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah. Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

14. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

15. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya ia menggembirakan kamu, jika engkau memerintahnya ia mentaati perintah tersebut dan jika engkau bermusafir dia menjaga harta engkau dan dirinya. Maksud hadis: Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.

:::BESARNYA makna DOA YANG KITA LUPAKAN:::

Astaghfirullahal'adziim.. inilah bahagian solat yg paling selalu diabaikan ramai...


Assalamualaikum wr wb, BESARNYA makna DOA YANG KITA LUPAKAN - semasa duduk antara dua sujud.

Dalam tidak sedar setiap hari kita memohon didalam solat kita..tetapi sayangnya, kita hanya memohon tanpa memahami.. sekadar tersebut dibibir, tetapi tidak tersentuh dari hati kita selama ini.. Marilah kita mula menghayati ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat.. Dengan rendah hati nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah :

Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)

Diamlah sejenak, buka dada dan diri kita untuk menerima ampunan dari Allah seperti membuka diri ketika merasakan hembusan angin sepoi-sepoi atau menerima curahan air hujan ketika kita masih kecil. Tetaplah membuka diri kita untuk menerima ampunan Allah Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan.Kemudian sampaikanlah permintaan kedua,

Warhamni (sayangi aku)

Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih-sayang Allah yang tak terhitung besarnya. Bukalah dada kita seluas-luasnya agar semakin banyak kasih-sayang Allah yang kita terima

Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup. Berturut-turut sampaikanlah permintaan2 berikut dengan cara sebagaimana tersebut di atas, satu persatu..

Wajburnii (tutuplah aib-aibku)

Warfa'nii (angkatlah darjatku)

Warzuqnii (berilah aku rezeki)

Wahdinii (berilah aku petunjuk)

Wa'Aafinii (sihatkan aku)

Wa'fuannii (maafkan aku)

Setelah selesai, diamlah sejenak lalu sampaikan rasa syukur kita. Betapa besarnya nilai sebuah doa ini..sebuah doa yang kita hanya lewatkan begitu sahaja.. Dalam tidak kita sedar selama ini kita seperti sedang berpura-pura memohon sesuatu.

Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain (Hadis riwayat Al-Qudhi).

Wassalam

Friday, October 22, 2010

Rahsia Solat Dari Sudut Sains Dan Kesihatan

Hasil kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.
Berikut adalah beberapa hasil kajian yang telah dilakukan berkaitan solat:
AKTIVITI OTOT - Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas
Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan. Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.
"Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh," katanya. Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh. Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.
ISYARAT OTAK - Ng Siew Chok
Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik.
"Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang," katanya
Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.
"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tomakninah," katanya.
Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.
Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.
Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.
KOMPOSISI TUBUH - Dr Fatimah Ibrahim
Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.
Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.
"Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain," katanya.
Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.
Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.
Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.
"Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.
"Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif," katanya.
Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.
Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.
Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.
Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.
Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.
"Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat," katanya.
Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.
Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.
"Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal," katanya.
Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit
Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.
"Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus," katanya.
Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung. Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.
- Berita Harian

Friday, October 1, 2010

Bolehkah Kelab Bola Red Devil, Arak & Kereta Chrevolet?

oleh Zaharuddin.net

Assalamualaikum ustaz, saya adalah salah seorang peminat bola sepak dunia.. saya meminati banyak pasukan Eropah. ini kerana ada lambang Salib Setan .. saya mahu tahu adakah saya sebagai seorang muslim boleh memakai jersi tersebut. Saya hanya meminati pasukan tersebut, sekiranya tidak boleh dipakai, adakah dalil yang melarang kita memakainya. Saya ada berbincang bersama rakan - rakan, mereka beritahu saya bahawa kita boleh memakai asalkan kita tidak mengagungkan lambang tersebut. Saya memang ragu - ragu dalam hal ini. Tolonglah selesaikan masalah saya ini ustaz. sekian, wassalam.
JAWAPAN
Wa'alaikumussalam,
Apa-apa sahaja logo jika adalah benar-benar sebuah lambang salib, ia tidak boleh dipakai sama ada di baju atau lainnya bagi seorang Muslim. Kerana penganut Islam tidak dibenarkan mengiklankan sebarang perkara yang bertentangan dengan Islam. Dalilnya adalah cukup mudah iaitu firman Allah:-
وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثْمِ وَٱلْعُدْوَانِ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Ertinya : dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya ( Al-Maidah : 2)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini membawakan sebuah hadis yang menjelaskan lagi larangan memberi apa jua bantuan sama ada tersirat dan tersurat kepada hal ehwal yang bertentangan dengan aqidah dan hukum Islam. Hadisnya
ومن دعا إلى ضلالة كان عليه من الإثم مثل آثام من اتبعه إلى يوم القيامة ، لا ينقص ذلك من آثامهم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang menyeru atau mengajak ke arah sesuatu yang sesat (dosa), dia akan menanggung dosanya sebagaimana dosa-dosa orang yang mengikuti ajakan dan seruannya sehinggalah hari kiamat, tidak terkurang dosa itu walau sedikit ( Riwayat Muslim & Ibn Majah )


RED DEVIL, CARLSBERG & CHEVROLET


Jika ia bukan lambang salib, tapi hanya dirasakan sebagai salib hasil imaginasi sendiri, maka tiada masalah untuk memakainya, contohnya seperti kereta Chevrolet. Lambang kereta ini, seseorang individu mungkin menganggapnya sebagai salib namun jika dilihat di forum ini, penganut Kristian merasakan lambang Chevrolet itu adalah anti-kristian dan bukannya pro kristian. Apapun, jika seseorang itu secara tidak dapat dikawal sentiasa terbayang merasakan ia lambang salib, tatkala itu, elok ia dijauhi juga. Namun, dalam konteks biasa, logo kereta tersebut bukanlah salib.
Satu persoalan berkaitan adalah lambang Red Devil pada logo Manchester United.
Walaupun hakikat sebenarnya kita tidak tahu bentuk Syaitan yang sebenarnya, namun apabila manusia telah membuat imaginasi tersendiri berkenaan bentuk Syaitan, menamakannya sebagai Devil dan diterima umum sebagai satu lambang Devil. Tatkala itu lambang Red Devil yang berada di logo Manchester United juga termasuk di antara logo-logo yang TIDAK BOLEH, diiklankan dan disyiarkan (ditayang dan dibanggai) oleh seorang Muslim sama ada ditampal di dinding mahupun digunakan di atas pakaiannya.
Justeru, apa-apa logo jika telah diterima umum sebagai satu lambang syaitan, kemungkaran, kejahatan, heavy metal dihiasi amalan dan perbuatan kesyaitanan seperti (Black Metal), logo itu telah menjadi haram untuk digunapakai.
Berbalik kepad Red Devil, jika ia benar-benar membawa imej umum sesuatu yang bersifat kesyaitanan, atau apa-apa aktiviti kesyaitanan dan dosa, tatkala itu ia sudah termasuk dalam kategori Black Metal dan sememangnya tidak terlepas dari hukum haram.
LOGO MANCHESTER UNITED HARUS DAN MAKRUH BILA ?



Tetapi jika imej kesyaitanan dan aktviti dosa besar seperti Black Metal tersebut tidak berkait dengan Red Devil, kerana ia lebih membawa imej umum kepada hal bola sepak dan sukan, tatkala itu ia masih boleh digunakan.
Begitu juga jika ada individu tertentu boleh menyongsang arus lalu mendakwa ia berjaya mengelakkan hati dan pemikirannya dari mengakui ia sebuah lambang syaitan, dan kekal merasakan ia hanya sebuah lambang kumpulan bola sepak terkenal dunia yang tiada kaitan dengan syaitan atau sepertinya, tatkala itu BOLEH dan DIHARUSKAN baginya untuk memakainya.
Walaupun begitu, jika ia boleh menimbulkan fitnah dikalangan orang lain yang melihat, sehingga pemakai dianggap selaku menyokong sesuatu yang diharamkan, hukum HARUS berubah kepada makruh. Kesimpulannya, dalam hal Red Devil, hukum boleh jadi berbeza-beza kerana kepercayaan, keyakinan si pemakai dan orang yang melihat. Yang terbaik, sudah tentulah menjauhinya akibat rasa syubhah yang wujud.
Yang pasti, individu yang soleh dan mengabdikan diri kepada Allah tidak akan sama sekali memerlukan logo ini di dalam kehidupannya. Jika berminat sekalipun, cukuplah menyokong pasukan tersebut dalam pertandingannya tanpa perlu melibatkan diri dan menghabiskan duit dengan membeli jersi-jersi dan barang berlogo sebegitu.
Namun begitu, memakai jersi pasukan Liverpool yang dengan jelas memaparkan logo arak Carlsberg adalah muktamad hukumnya adalah HARAM menurut hukum Islam berdasarkan dalil-dalil dan hujah sebelum ini dan juga yang diberikan di bawah.
Pengharaman juga adalah MUKTAMAD bagi mana-mana pakaian dan barangan yang mempromosi iklan bank-bank konvensional ( seperti Standard Chartered) yang menawarkan produk Riba. Umat Islam dilarang sama sekali secara sepakat ulama, mempromosikan manamana bank konvensional kerana dosanya sama seperti berperang dengan Allah dan RasulNya serta berzina 36 kali.

Hujah dan tulisan ini bukan semata-mata TERHAD kepada kumpulan dan logo yang disebutkan, namun meliputi logo-logo dan jersi-jersi mana-mana pasukan dan kumpulan lain di dunia.
LAGI DALIL HADIS
Selain dalil Al-Quran di atas, sebahagian dalil lain kepada pengharaman mengguna termasuk memakai sesuatu yang diharamkan untuk Muslim adalah hadis :-
نهانا رسول الله صلى الله عليه وسلم أن نشرب في آنية الذهب والفضة وأن نأكل فيها، وعن لبس الحرير والديباج

وأن نجلس عليه، وقال: هو لهم (أي للكفار) في الدنيا ولنا في الآخرة
Ertinya : Rasulullah Sallahualahiwassalam telah melarang kami makan dan minum dari bekas yang diperbuat dari emas dan perak, dan memakai (kaum lelaki) pakaian dari sutera dan juga menggunakannya untuk alas duduk, baginda juga berkata : itu semuanya untuk orang kafir di dunia, dan kita hanya dibenarkan di Syurga kelak. ( Riwayat Al-Bukhari)
Berasaskan dari hadis terbabit, lalu para ulama membuat kesimpulan sebuah kaedah iaitu :-

وما حرم استعماله حرم اتخاذه تحفة وزينة
Ertinya : dan apa-apa yang diharamkan penggunaanya, diharamkan juga mengambilnya sebagai barangan yang disayangi ( barang dianggap berharga = masterpiece) dan perhiasan. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi)
Kaedah ini menjawab persoalan sama ada ia diagungkan atau tidak, hakikatnya pemakaian, menjadikan hiasan sama ada sebagai pakaian, hiasan di rumah dan ditontonkan kepada orang ramai itu adalah sebenarnya secara langsung merupakan satu bentuk pengagungannya.
KESIMPULAN
Hukum memakai baju kumpulan bola berlambang salib secara jelas dan berlogo apaapa jenama yang diharamkan oleh Islam seperti Carlsberg itu adalah berdosa dan diharamkan untuk orang Islam memakainya dan dijadikan perhiasan dan masterpiece yang dibanggai.
Manakala hukum memakai pakaian yang berlambang Red Devil adalah di antara Harus dan Makruh sebagaimana yang disebutkan di atas dengan melihat kepada situasi yang berbeza-beza. Namun, sekiranya ia benar-benar dianggap sebagai logo dan tanda Devil dan tanda negatif dan kejahatan bagi masyarakat awam di sesuatu tempat, ia boleh berubah menjadi haram.

Manakala menggunakan kereta berlogo Chevrolet adalah harus.

Sekian